Isnin, 23 November 2009

Perodua Yakin Kuasai 33 Peratus Bahagian Pasaran Kereta Tempatan

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjangka dapat menguasai 33.3 peratus bahagian pasaran kereta tempatan tahun depan dengan jualan yang lebih baik bagi modelnya, pasaran yang bertambah baik dan peningkatan kuasa membeli pengguna sebagai faktor pendorong.

Bagi 10 bulan pertama tahun ini, syarikat menguasai 31.1 peratus bahagian pasaran, kata pengarah urusan kumpulan, Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar.

Beliau berkata selain model Myvi dan Viva, pengeluar kereta tempatan itu juga mengharapkan model terkininya, Alza, untuk meraih lebih banyak jualan.

Syed Abdul Hafiz berkata Perodua juga telah menyemak semula unjuran jualan kepada menaik sebanyak lima kali tahun ini meskipun dalam keadaan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Berdasarkan kepada unjuran syarikat untuk menjual 176,000 unit kereta tahun depan, Perodua yakin dapat mencapai jangkaan bahagian pasaran tahun depan, kata Syed Abdul Hafiz kepada pemberita selepas pelancaran kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua, ALZA, di sini Isnin.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan pelancaran MPV itu.

MPV baru itu yang tempahannya dibuka 10 hari lepas, telah menerima 3,500 tempahan sehingga pukul 2 petang hari ini.

Bagi 10 bulan pertama tahun ini, Perodua mencatatkan jumlah jualan sebanyak 138,000 unit. Jumlah berkenaan merupakan penurunan sebanyak tiga peratus daripada 142,000 unit yang dijual semasa tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi sepanjang tahun ini, syarikat menjangka jualan akan mencecah 164,000 unit berbanding dengan 167,000 unit tahun lepas.

Mengenai jumlah kuantiti industri (TIV), beliau berkata syarikat mengunjur 520,000 unit berbanding dengan jangkaan Persatuan Automotif Malaysia sebanyak 480,000 unit.

Beliau berkata unjuran syarikat berdasarkan kepada sambutan hebat yang diterima bagi program kerajaan untuk melupus kenderaan yang berusia 10 tahun dan ke atas.

Sehingga kini program yang membabitkan Proton dan Perodua itu telah menyaksikan 40,000 kereta terlibat dalam program berkenaan.

"Ini menunjukkan kejayaan program itu di bawah pakej rangsangan kedua. Program itu banyak membantu," katanya.

Beliau berkata pasaran bagi MPV juga dijangka berkembang daripada 10 peratus daripada TIV kini kepada 30 peratus tahun depan. Ini tentunya akan merangsang pasaran, katanya.

Sementara itu, ALZA, yang didatangkan dengan enam warna, menawarkan dua varian standard, transmisi automatik and manual.

Harga model berkenaan bermula dari RM56,000 hingga RM70,000 untuk MPV bergantung kepada modelnya sama ada standard, premium atau tercanggih. Versi tercanggih akan didapati di pasaran pada Mac depan. BERNAMA

Jumaat, 20 November 2009

Nik Aziz disenarai 50 tokoh berpengaruh di dunia Islam 2009


KUALA LUMPUR, 20 Nov: PAS mendapat penghormatan dunia Islam apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah disenaraikan antara '50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia'.

Menteri Besar Kelantan itu, disenarai di tempat ke 42 dalam senarai '500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009'.

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.

Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal.

(Nik Aziz ditangga ke 42 Muslim paling berpengaruh di didunia)

Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.

Nama Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam lis 450 “Honourable Mention” di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia.

Nama Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Mahathir tidak disenaraikan di dalam “Honorable Mention”.

Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Datuk Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.

Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.


Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.

Khamis, 19 November 2009

Hari Raya Qurban Ditetapkan Pada 27 November


KUALA LUMPUR: Hari Raya Qurban atau Hari Raya Aidiladha bagi Malaysia ditetapkan pada 27 November ini, bersamaan 10 Zulhijah, umum Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.

Engku Ibrahim berkata: "Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini diisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1430 Hijrah ialah pada 18 Nov 2009 Masehi.

"Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Jumaat, 27 Nov 2009 Masehi," katanya dalam siaran akhbar Jabatan Penerangan yang dikeluarkan di sini Shari ini. BERNAMA

Pencapaian UPSR Meningkat, Kata Alimuddin


PUTRAJAYA, 19 Nov :- Pencapaian keseluruhan calon-calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun ini mengalami peningkatan berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini telah meningkat sebanyak 1 peratus berbanding 2008.

"Pencapaian keseluruhan nilai GPN telah meningkat sebanyak 1 peratus tahun ini. Pencapaian Cemerlang (semua A) telah meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding dengan 9.19 peratus pada tahun lepas dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.

"Pencapaian Baik (minimum C) pula meningkat kepada 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan sebanyak 0.47 peratus. Manakala pencapaian lemah (semua E) telah menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus pada tahun lepas dengan perbezaan 0.02 peratus," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini pada Khamis.

Beliau berkata pencapaian calon-calon luar bandar walaupun masih ketinggalan berbanding dengan pencapaian calon-calon bandar pada keseluruhannya juga semakin baik.

"Pada keseluruhannya, jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar semakin dapat dirapatkan. Hal ini dapat dilihat daripada penguncupan beza antara bandar dan luar bandar bagi kesemua ukuran pencapaian calon pada tahun ini berbanding tahun lepas," katanya.

Perbezaan jumlah murid cemerlang luar bandar dan bandar pada tahun ini mengalami penguncupan sebanyak 3.64 peratus berbanding dengan 4.22 peratus pada tahun lepas.

Sementara perbezaan pencapaian baik di antara murid bandar dan luar bandar mengalami penguncupan sebanyak 5.55 peratus berbanding dengan 6.25 peratus pada tahun lepas.

Daripada segi mata pelajaran, Bahasa Tamil telah menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi iaitu sebanyak 3.6 peratus dan juga Matematik yang meningkat sebanyak 4.2 peratus, katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 506, 620 calon menduduki UPSR manakala pada tahun lepas sebanyak 507, 320 calon.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Sulaiman Wak berkata seramai 2,725 daripada 24,826 calon UPSR bagi sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) di Kuala Lumpur memperoleh 5A dan 7A.

"Walaupun peratusan kelulusan pada tahun 2009 telah menurun dari 66.94 peratus kepada 66.89 peratus tetapi peratus lulus semua A telah meningkat kepada 10.98 peratus berbanding tahun 2008 sebanyak 10.90 peratus," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan UPSR bagi Kuala Lumpur.

Beliau berkata 94 calon SK Setiawangsa mendapat semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil, SK Bukit Damansara (80) dan SK Taman Tun Dr Ismail Satu (76).

Di TERENGGANU, negeri itu mencatatkan rekod cemerlang sembilan tahun berturut-turut dalam peperiksaan UPSR apabila 3,664 daripada 23,944 calon yang mengambil ujian itu memperoleh semua A.

Pengarah Pelajaran Terengganu Ariffin Embong berkata kejayaan itu mencatat peningkatan 1 peratus berbanding tahun lepas yang mana menjadikan Terengganu mencatatkan pencapaian 15.3 peratus.

Pencapaian GPN juga meningkat kepada 2.22 peratus iaitu mengatasi pencapaian tahun lepas dan peringkat nasional (2.33 peratus), katanya pada sidang media di Pejabat Pelajaran Negeri.

Di KELANTAN, sebanyak 5,259 atau 14.31 peratus daripada 25,369 calon UPSR mendapat 5A dan 7A, iaitu peratus kecemerlangan tertinggi dalam tempoh enam tahun.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata pencapaian GPN tahun ini ialah 2.25 berbanding 2.32 tahun lepas, iaitu meningkat sebanyak 0.07 peratus dan mengatasi GPN kebangsaan.

"Tiga mata pelajaran menunjukkan peningkatan yang ketara sama ada peratus kelulusan dan kualiti gred pencapaian iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris di samping Bahasa Cina Kefahaman dan Bahasa Melayu Kefahaman menunjukkan peningkatan," katanya pada sidang media.

Di PERLIS pula, sebanyak 439 atau 9.53 peratus daripada 4,607 calon UPSR di negeri ini mencatat pencapaian cemerlang dengan memperolehi 5A dan 7A.

Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.79 peratus berbanding 8.74 peratus pada tahun lalu.

Menurutnya, lima daripada 73 buah sekolah di Perlis telah mencatat pencapaian peratus kecemerlangan lebih 20 peratus iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Indera, Sekolah Kebangsaan (SK) Paya, SK Sena, SK Kayang dan SRK Putra.

Di NEGERI SEMBILAN, Jabatan Pendidikan Negeri Negeri Sembilan akan menyiasat punca kemerosotan peratus pencapaian subjek Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kebangsaan di negeri itu.

"Kemerosotan hanya berlaku pada tahap 2.5 peratus (sekolah kebangsaan) dan 1.7 peratus (sekolah jenis kebangsaan) untuk bahasa Inggeris dan keadaan ini masih lagi terkawal," kata Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Jamali Salam pada sidang media.

Secara keseluruhan, katanya Negeri Sembilan masih mencatatkan keputusan cemerlang di mana seramai 2,343 calon mendapat keputusan penuh 5A atau 7A dan berada di kalangan negeri yang terbaik dalam pencapaian UPSR kali ini.

JOHOR mencatatkan keputusan UPSR yang lebih baik pada tahun ini apabila 6,283 atau 10.13 peratus daripada 62,401 calon yang menduduki peperiksaan itu mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Jabatan Pelajaran Johor Sufa'at Tumin yang mengumumkan keputusan peperiksaan itu berkata daripada jumlah itu, 4,246 (10.64 peratus) adalah calon Sekolah Kebangsaan; 1,881 (9.47 peratus) adalah calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina manakala 156 (6.97 peratus) adalah calon Sekolah Kebangsaan Tamil.

Ia menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian 9.64 peratus atau 5,987 calon pada 2008 dan 8.64 peratus atau 5,265 calon pada 2007, katanya

Di KEDAH, peratusan calon yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran UPSR meningkat kepada 9.36 peratus (3,742 calon) berbanding 8.69 peratus (3,482 calon) pada tahun lepas.

Pengarah Pelajaran Negeri, Shahidan Abd Rahman berkata, bilangan calon yang berjaya menguasai tahap minimum bagi semua mata pelajaran juga meningkat berbanding tahun lepas.

"Jumlah calon yang lulus semua mata pelajaran meningkat sebanyak 1.53 peratus pada tahun ini, iaitu 25,344 calon (63.37 peratus) berbanding 24,775 calon (61.84 peratus) pada tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata Gred Purata Negeri (GPN) juga meningkat kepada 2.359 berbanding 2.417 pada tahun 2008.

Di PULAU PINANG, daripada 26,259 calon yang menduduki UPSR tahun ini, 17,638 calon mencatatkan keputusan lulus semua subjek.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Ibrahim Mohamad berkata jumlah calon yang lulus gred A bagi semua subjek ialah sebanyak 3,177 manakala dua sekolah yang berjaya mencatatkan lulus 100 peratus ialah Sekolah Model Khas Tok Jaya di Butterworth dan SJKC Kuang Yu di Kepala Batas.

Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang muncul sekolah terbaik di negeri ini dengan 70 pelajar mendapat 5A, katanya pada sidang media.

Di MELAKA, seramai 10,087 calon (66.41 peratus) daripada 15,187 calon yang menduduki UPSR tahun ini telah mencapai penguasaan minimum gred A, B dan C bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Melaka, Isa Abu berkata daripada segi kecemerlangan seramai 1,411 calon (9.29 peratus) mendapat A bagi semua mata pelajaran (5A/7A).

"Mengenai tahap literasi murid di Melaka, saya ingin memaklumkan bahawa daripada 15,187 calon yang menduduki peperiksaan UPSR 2009, seramai 14,826 calon telah mencapai sekurang-kurangnya satu gred C iaitu telah mencapai tahap literasi," katanya.

Di SABAH, sebanyak 9ll calon merekodkan pencapaian cemerlang gred 5A bagi semua subjek yang mencatatkan penurunan berbanding 995 calon pada tahun lepas.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan negeri Sabah Md Nor Md Sharif berkata Sekolah St Francis Convent, Kota Kinabalu muncul sekolah terbaik dengan 41 calon mendapat 5A diikuti Sekolah Yuk Chin di Tawau dengan 29 calon.

"Antara sekolah-sekolah lain yang mempunyai rekod cemerlang adalah SK St. Agnes, Kota Kinabalu iaitu seramai 30 calon, SK. St Monica, Sandakan sebanyak 27 calon seterusnya SK St. Patrick, Tawau iaitu 26 calon," katanya.

-- BERNAMA

Rabu, 18 November 2009

Syaitan Lari !


Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda:”Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali. Dia sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata kepadanya:”Ingatlah apa yang belum kamu ingat!” Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi berapa rakaat dia telah solat.” (al-Bukhari)

Huraian:

Syaitan berada di mana-mana. Oleh kerana itu pohonlah perlindungan dengan berzikir atau membaca ayat-ayat al-Qur’an.

Dalam menghadapi keadaan-keadaan yang membahayakan, mencemaskan atau menakutkan, malah dalam keadaan biasa sekalipun pun, eloklah kita mengamalkan amalan-amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, Contohnya, dalam waktu kecemasan seperti kebakaran, azan dan takbir amat sesuai dilaungkan di samping ayat-ayat atau zikir-zikir pendek.

Selain itu untuk berlindung daripada syaitan juga kita dikehendaki melaungkan azan dan iqamah ke telinga bayi yang baru lahir.

Sesungguhnya syaitan itu tidak lain melainkan sentiasa ingin menggoda manusia dengan apa cara sekalipun hatta di dalam solat supaya manusia lalai daripada mengingati Allah dan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebinasaan pada dirinya.

Sebab itulah Rasulullah menyuruh kita mengamalkan berbagai bacaan doa sama ada ketika makan, ingin memasuki tandas, keluar tandas, memasuki rumah memakai pakaian, tidur, membawa kenderaan dan sebagainya.

Maka apabila manusia terlindung dengan doa yang dibacanya itu akan terlepaslah peluang syaitan untuk merosakkan manusia.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysi

AWAS! Bahaya Telefon Bimbit "Under Water" - Suruhanjaya Komunikasi


BUTTERWORTH: AWAS! Orang-ramai perlu memastikan telefon bimbit yang mereka gunakan mempunyai perakuan keselamatan daripada SIRIM serta maklumat mengenai kadar penembusan spesifik radiasi (SAR) untuk keselamatan diri sendiri.

Dan ini termasuklah menggunakan telefon bimbit murah atau lebih dikenali sebagai "under water" di pasaran.

Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi, Standard dan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Rizal Abdul Malek berkata, telefon bimbit yang dijual di pasaran dengan harga yang murah dikhuatiri tidak dilengkapkan dengan ciri-ciri keselamatan.

"Kita tidak menggalakkan orang-ramai menggunakan telefon bimbit sedemikian kerana ia mungkin mendedahkan penggunanya kepada penembusan radiasi yang melebihi kadar sepatutnya atau bahaya yang lain," katanya ketika ditemui selepas Seminar Radiasi Gelombang Radio anjuran SKMM di sini hari ini.

Menurutnya, kebanyakan telefon bimbit berjenama mempunyai ciri keselamatan yang ditetapkan serta meletakkan maklumat tahap SAR pada tempat meletak baterinya.

"Seelok-eloknya carilah telefon bimbit yang mempunyai tahap pengaliran tenaga atau radiasi kurang daripada 2 Watt per kilogram (2W/kg)," katanya.

Beliau menambah, telefon bimbit murah atau "under water" yang dibawa masuk dari luar negara tanpa mendapat kebenaran SKMM dan pengesahan SIRIM mungkin mengundang bahaya kepada pengguna.

Rizal berkata, adalah menjadi satu kesalahan menurut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Muktimedia 1998 bagi mana-mana pihak yang menjual setiap kelengkapan komunikasi termasuk telefon bimbit tanpa kebenaran SKMM serta perakuan SIRIM.

Sehubungan dengan itu, orang-ramai diminta membuat aduan kepada SKMM jika mendapati telefon yang dibeli tidak mempunyai ciri keselamatan dan perakuan berkenaan.

Telefon bimbit mengeluarkan radiasi frekuensi radio (RF) yang menggantikan fungsi kabel semasa ia membawa suara dan mesej ke stesen pangkalan telefon berhampiran dan tahap radiasinya sangat lemah jika dibandingkan dengan radiasi yang dikeluarkan semasa proses sinaran x.

Ahad, 8 November 2009

Pembuat Pintu Emas Kaaba Meninggal

Pembuat Pintu Emas Kaaba Meninggal
Ahmad menghasilkan pintu Kaaba menggunakan emas tulen seberat 300 kg atas perintah Raja Khaled pada Oktober 1979. -Foto BERNAMA

SHEIKH Ahmad bin Ibrahim Badr, tukang utama yang mereka bentuk pintu emas Kaaba, meninggal dunia pada usia 89 tahun di Makkah Jumaat lepas, demikian harian Arab Saudi berbahasa Inggeris, The Arab News melaporkan pada Ahad.

Ahmad menghasilkan pintu Kaaba menggunakan emas tulen seberat 300 kg atas perintah Raja Khaled pada Oktober 1979.

Kerja-kerja itu dijalankan di sebuah bengkel yang dibina khusus untuk projek berkenaan. Beliau juga memperkemas dan memperindahkan lagi meezab (saluran air di atas Kaaba) dan rangka perak Hajar Aswad.

Beliau mempelajari seni berkenaan daripada bapanya, pereka dan pembina asal pintu berkenaan atas perintah Raja Abdul Aziz pada 1942, lapor akhbar itu.

Ibrahim dan dua saudaranya, Mahmoud dan Ibrahim Badr, mengacu pintu berkenaan dengan emas tulen, mengambil masa setahun menyiapkannya.

Tiang dalam dan meezab, dibuat daripada emas 24karat seberat 25 kg juga disiapkan dalam tempoh berkenaan.

Ayat al-Quran "Ya Hayy Ya Qayyum" (Wahai yang Maha Hidup, Maha Mendengar) dan perkataan "Allah" dan "Muhammad" diukir pada pintu.

Ayat al-Quran "Ya Hayy Ya Qayyum" (Wahai yang Maha Hidup, Maha Mendengar) dan perkataan "Allah" dan "Muhammad" diukir pada pintu. Kerja-kerja mereka termasuk rangka perak Hajar Aswad, lapor akhbar itu.

Ahmad dilahirkan di kampung halaman datuk neneknya di permukiman Qashashiya di Makkah pada 1920. Selepas belajar di sekolah alFalah tempatan beliau menyertai bapanya di bengkel emas dan perak pada usia 15 tahun.

Ahmad telah bekerja di kedai bapanya "Sheikh Ibrahim Badr" di Goldsmiths' Street sepanjang hidupnya.

Beliau lahir dalam keluarga pertukangan seni yang terkenal dengan kehalusan kerjatangan emas yang ekskuisit, kata akhbar itu. BERNAMA

Cahaya Iman


Email : mohd naim mohd zain


Iman ialah puncak tenaga
Tempat lahir segala-galanya
Yang diperlukan hidup ini
Ia yang mengkayakan hati kita

Iman ialah sahabat yang setia
Yang menemani disaat suka dan duka
Iman ialah pembimbing yang memandu kita
Menuju kebahagiaan hidup di dunia

Oleh itu hendaklah kita sedari
Iman itu penting dan perlu dimiliki
Ia perlu dicari sepenuh hati
Bekalan insan menuju Illahi

Iman ialah Cahaya amal
Tingkatkan iman kita di dunia
Cahaya iman kan selamatkan kita
Menuju hidup bahagi diakhirat sana

9 SEBAB-SEBAB HATI TIDAK BAHAGIA

Artikel dari emel sahabat, Muhasabahlah untuk diri kita bukan untuk orang lain..InsyaAllah
Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

1. Pemarah paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang.

2. Pendendam tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

3. Hasad dengki- amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.

4. Bakhil- sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama..-derma) Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri
melalui maknusia

5. Tamak orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut...walau berapa banyak yg diminum tetap tak abis jugak...lagipun org tamak selalu rugi.. ** Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6. Tidak sabar andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu banyak2kanlah bersabar bila hadapi dugaan..cthnyer time keja banyak..tetap maintain vogue walau keja bertimbun atas meja..heh..heh. ..)

7. Ego- ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.

8. Riak terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakun-lakun di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. –Allah marah kalau kita riak..takabbur dgn aper yg kita ada..

9. Cinta dunia- tidak dapat menderita, ....dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. biler mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah. ... Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Kesimpulan

Jumaat, 6 November 2009

KEUTAMAAN MENGHUBUNGKAN UKHUWAH



KEUTAMAAN MENGHUBUNGKAN UKHUWAH

1. Mendapatkan keredaan Allah kerana Allah amat suka kepada

orang yang menghubungkan Ukhuwah begitu juga penduduk di langit.

2. Menggembirakan para Malaikat di langit kerana mereka amat suka kepada

orang yang menghubungkan Ukhuwah.

3. Dapat menambahkan pahala amalnya setelah ia meninggal kelak.

4. Dapat menambah dan menimbulkan rasa kasih sayang dalam pergaulan

seharian.

5. Dapat menambah dan menimbulkan keberkatan kepada rezeki.

6. Allah dapat melanjutkan usianya.

7. Menjadikan iblis dan syaitan bertambah gelisah dan sakit hati.

8. Akan disegani dan dihormati oleh masyarakat yang berada di sekelilingnya.

9. Dapat menggimbirakan jenazah yang berada di alam barzah.

10. Dapat mencetuskan kegembiraan pada kedua belah pihak, tiada amalan

yang lebih baik melainkan menggembirakan hati orang-orang yang beriman