Rabu, 18 November 2009

AWAS! Bahaya Telefon Bimbit "Under Water" - Suruhanjaya Komunikasi


BUTTERWORTH: AWAS! Orang-ramai perlu memastikan telefon bimbit yang mereka gunakan mempunyai perakuan keselamatan daripada SIRIM serta maklumat mengenai kadar penembusan spesifik radiasi (SAR) untuk keselamatan diri sendiri.

Dan ini termasuklah menggunakan telefon bimbit murah atau lebih dikenali sebagai "under water" di pasaran.

Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi, Standard dan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Rizal Abdul Malek berkata, telefon bimbit yang dijual di pasaran dengan harga yang murah dikhuatiri tidak dilengkapkan dengan ciri-ciri keselamatan.

"Kita tidak menggalakkan orang-ramai menggunakan telefon bimbit sedemikian kerana ia mungkin mendedahkan penggunanya kepada penembusan radiasi yang melebihi kadar sepatutnya atau bahaya yang lain," katanya ketika ditemui selepas Seminar Radiasi Gelombang Radio anjuran SKMM di sini hari ini.

Menurutnya, kebanyakan telefon bimbit berjenama mempunyai ciri keselamatan yang ditetapkan serta meletakkan maklumat tahap SAR pada tempat meletak baterinya.

"Seelok-eloknya carilah telefon bimbit yang mempunyai tahap pengaliran tenaga atau radiasi kurang daripada 2 Watt per kilogram (2W/kg)," katanya.

Beliau menambah, telefon bimbit murah atau "under water" yang dibawa masuk dari luar negara tanpa mendapat kebenaran SKMM dan pengesahan SIRIM mungkin mengundang bahaya kepada pengguna.

Rizal berkata, adalah menjadi satu kesalahan menurut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Muktimedia 1998 bagi mana-mana pihak yang menjual setiap kelengkapan komunikasi termasuk telefon bimbit tanpa kebenaran SKMM serta perakuan SIRIM.

Sehubungan dengan itu, orang-ramai diminta membuat aduan kepada SKMM jika mendapati telefon yang dibeli tidak mempunyai ciri keselamatan dan perakuan berkenaan.

Telefon bimbit mengeluarkan radiasi frekuensi radio (RF) yang menggantikan fungsi kabel semasa ia membawa suara dan mesej ke stesen pangkalan telefon berhampiran dan tahap radiasinya sangat lemah jika dibandingkan dengan radiasi yang dikeluarkan semasa proses sinaran x.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan