Isnin, 23 November 2009

Perodua Yakin Kuasai 33 Peratus Bahagian Pasaran Kereta Tempatan

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjangka dapat menguasai 33.3 peratus bahagian pasaran kereta tempatan tahun depan dengan jualan yang lebih baik bagi modelnya, pasaran yang bertambah baik dan peningkatan kuasa membeli pengguna sebagai faktor pendorong.

Bagi 10 bulan pertama tahun ini, syarikat menguasai 31.1 peratus bahagian pasaran, kata pengarah urusan kumpulan, Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar.

Beliau berkata selain model Myvi dan Viva, pengeluar kereta tempatan itu juga mengharapkan model terkininya, Alza, untuk meraih lebih banyak jualan.

Syed Abdul Hafiz berkata Perodua juga telah menyemak semula unjuran jualan kepada menaik sebanyak lima kali tahun ini meskipun dalam keadaan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Berdasarkan kepada unjuran syarikat untuk menjual 176,000 unit kereta tahun depan, Perodua yakin dapat mencapai jangkaan bahagian pasaran tahun depan, kata Syed Abdul Hafiz kepada pemberita selepas pelancaran kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua, ALZA, di sini Isnin.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan pelancaran MPV itu.

MPV baru itu yang tempahannya dibuka 10 hari lepas, telah menerima 3,500 tempahan sehingga pukul 2 petang hari ini.

Bagi 10 bulan pertama tahun ini, Perodua mencatatkan jumlah jualan sebanyak 138,000 unit. Jumlah berkenaan merupakan penurunan sebanyak tiga peratus daripada 142,000 unit yang dijual semasa tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi sepanjang tahun ini, syarikat menjangka jualan akan mencecah 164,000 unit berbanding dengan 167,000 unit tahun lepas.

Mengenai jumlah kuantiti industri (TIV), beliau berkata syarikat mengunjur 520,000 unit berbanding dengan jangkaan Persatuan Automotif Malaysia sebanyak 480,000 unit.

Beliau berkata unjuran syarikat berdasarkan kepada sambutan hebat yang diterima bagi program kerajaan untuk melupus kenderaan yang berusia 10 tahun dan ke atas.

Sehingga kini program yang membabitkan Proton dan Perodua itu telah menyaksikan 40,000 kereta terlibat dalam program berkenaan.

"Ini menunjukkan kejayaan program itu di bawah pakej rangsangan kedua. Program itu banyak membantu," katanya.

Beliau berkata pasaran bagi MPV juga dijangka berkembang daripada 10 peratus daripada TIV kini kepada 30 peratus tahun depan. Ini tentunya akan merangsang pasaran, katanya.

Sementara itu, ALZA, yang didatangkan dengan enam warna, menawarkan dua varian standard, transmisi automatik and manual.

Harga model berkenaan bermula dari RM56,000 hingga RM70,000 untuk MPV bergantung kepada modelnya sama ada standard, premium atau tercanggih. Versi tercanggih akan didapati di pasaran pada Mac depan. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan