Isnin, 11 Januari 2010

Bukan hukum semata-mata

SEJAK ditubuhkan pada tahun 1992 Institut Kefahaman Malaysia (IKIM) telah mengambil peranan untuk menyedarkan umat Islam serta rakyat negara ini mengenai Islam mengikut perspektif sebenar.

“Langkah ini penting kerana kita tidak mahu terdapat pihak-pihak yang cuba menyempitkan pengertian Islam sedangkan ia mencakupi semua aspek kehidupan manusia, “ kata Ketua Pengarah IKIM, Nik Mustapha Nik Hassan.

Justeru Nik Mustapha berkata, IKIM melalui program berbentuk seminar, penerbitan buku, penerbitan jurnal serta radio akan terus melaksanakan tanggungjawabnya memberikan penjelasan mengenai Islam kepada masyarakat keseluruhan.

Bersama wartawan Saifulizam Mohamad beliau turut bekongsi mengenai perancangan IKIM tahun ini.

MINGGUAN: Apa pandangan Datuk mengenai Islam yang dibincangkan dalam ruang lingkup mengenai hukum hakam saja sedangkan Islam lebih luas daripada itu?

NIK MUSTAPHA: terdapat beberapa dasar yang dilaksanakan di Malaysia sejajar dengan kehendak agama walaupun dasar-dasar ini tidak dikaitkan dengan agama. Sebagai contoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Ia merupakan satu dasar yang bertujuan untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan ekoran hampir 50 peratus penduduk pribumi hidup dalam keadaan miskin. Dengan kata lain sebahagian besar umat Islam ketika itu miskin. Oleh itu atas keberanian, kejujuran dan keikhlasan Tun Razak dengan kehendak politiknya yang cukup kuat beliau telah memperkenalkan DEB. Bukankah sebarang usaha untuk melihat anak bangsa maju menepati ruh Islam dan bukankah pelaksanaan DEB ini merupakan satu keadilan? Satu lagi fakta yang perlu diakui pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan di bawah DEB bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Islam malah merentasi kaum-kaum yang lain. Melalui DEB juga masyarakat Islam berpeluang menuntut dan menguasai ilmu. Ilmu berkaitan dengan kemahiran, kepakaran dan profesional.

Akhirnya mereka diberi peluang bekerja. Ringkasnya pelaksanaan DEB menepati dan sejajar dengan kehendak Islam. Begitu juga dengan Wawasan 2020. Jika kita amati objektif pelaksanaannya ia menitik beratkan kemajuan negara berasaskan kepada 9 cabaran dan antaranya membina masyarakat berakhlak, yakin diri dan berilmu. Bukankah ini juga kehendak agama walaupun tidak sebut agama?

Sejauh mana masyarakat faham bahawa Islam itu cara hidup?

NIK MUSTAPHA: Kita tidak boleh bercakap retorik sahaja dengan mengatakan Islam itu syumul. Kita suka bercakap dengan retorik, slogan tetapi kita tidak membina kekuatan. Hendak mengendalikan sesuatu mesti dengan pandangan hidup. Islam memberi pandangan hidup, bagaimana kita lihat matlamat kehidupan kita. Sebab itu kita yakin dengan ayat 107 al-Anbiya yang bermaksud “Tidak Aku turunkan kamu wahai Muhammad, melainkan untuk rahmat seluruh alam.”

Ini ayat besar yang mana ia menyentuh rahmatnya Islam itu diturunkan kerana Islam menumpukan usaha melahirkan umatnya yang berilmu dan mampu berperanan. Ilmu pula terbahagi kepada ilmu wahyu iaitu al-Quran dan ilmu yang dilafazkan melalui hadis dan Sunah. Hadis dan Sunnah menterjemahkan al-Quran secara lisannya (Hadis) serta perbuatan (Sunah). Sunah pun kita perlu faham sama ada ia berkaitan dengan adat Arab atau sunah secara keseluruhan. Jangan berlaku salah faham. Dalam soal pemakaian kita tidak hendak ‘mengarabkan’ budaya sebaliknya kita mahu memberi perspektif agama kepada budaya kaum-kaum sedia ada.

Islam yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W) mengajar kita bagaimana Islam itu amat sesuai dengan fitrah dan tabiat semulajadi manusia. Sehubungan itu adalah tidak wajar ada pihak yang cuba menyempitkan pengertiannya.

NIK MUSTAPHA: Siapa manusia sebenarnya. Manusia secara fitrahnya mengandungi sifat malakiah (rohani) dan bahimiah (jasmani). Atas sebab itu Islam mempunyai latihan kerohanian seperti solat, puasa, zakat dan haji. Kesemuanya ini fardu ain. Kerohanian amat diperlukan oleh manusia kerana dengan melalui latihan kerohanian akan datang ketenangan pada jiwa dan sekali gus datang kesejahteraan. Masalahnya sekarang orang hendakkan ketenangan jiwa tetapi tidak menemuinya. Ini berlaku disebabkan tiada latihan kerohanian serta keyakinan adanya terhadap kuasa mutlak di atas. Tidak dinafikan manusia memerlukan keperluan bahimiah seperti seks, makanan, populariti tetapi elemen ini hendaklah dibimbing oleh malakiah. Kita tidak boleh mematikan bahimiah kerana tanpanya kita tidak boleh mengecap kemajuan. Saya percaya semua orang mahu meningkatkan keselesaan hidup, mahu menjadi kaya tetapi kaya yang bagaimana?

Islam tidak pernah menghalang umatnya menjadi seorang yang kaya tetapi kekayaan di dalam Islam dibimbing dengan elemen malakiah atau dengan kata lain unsur-unsur rohani. Atas sebab itu kita diwajibkan berzakat dan digalakkan bersedekah kerana semua rezeki yang kita perolehi datang dari Allah. Oleh itu tidak wajar kita melihat semua perkara dalam sudut hukum semata-mata. Seperti contoh projek pembinaan keretapi laju dari Mekah ke Madinah ia tidak ada kena mengena dengan hukum sebaliknya ia mahu memudah hidup kita lagi.

Mengapa masih timbul persepsi yang menyatakan Islam itu hanya sekadar berkaitan dengan hukum hakam?

NIK MUSTAPHA: Islam yang diturunkan oleh Allah melalui Rasulullah mencakupi semua aspek kehidupan dan Alhamdulillah secara umumnya bentuk amalan pentadbiran di Malaysia boleh kita katakan sejajar dengan kehendak agama seperti pelaksanaan DEB, Wawasan 2020 dan begitu juga sistem pemerintahan berparlimen. Mengapa saya menyatakan demikian? Ini disebabkan kita mengaplikasikan sistem syura seperti mana sistem yang telah diamalkan pada zaman Rasulullah dan para sahabat. Melalui Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) wakil rakyat terbabit akan rumuskan dasar. Begitu juga saranan Islam menghormati agama lain yang mana ia dipraktikkan di negara kita.

Atas sifat rahmatnya Islam kita mengakui yang kita berbeza tetapi dalam masa sama kita menghormati agama lain. Kita tidak boleh mencaci dan memburukkan agama mereka. Kita tidak boleh mengganggu mereka untuk menjalankan upacara agama mereka di rumah ibadat masing-masing. Namun begitu sebagai agama paling dominan di Malaysia dan diperakui oleh Perlembagaan, pihak lain juga harus mengiktiraf kedudukan Islam di negara ini.

Bagaimana boleh dikaitkan antara rahmahnya Islam dengan maqasid (tujuan) Islam itu diturunkan kepada umat manusia?

NIK MUSTAPHA: Antara maqasid dalam agama ialah memelihara akal, akidah, keturunan, nyawa dan harta yang mana kesemuanya itu wajib ditunaikan. Sebagai contoh kekuatan ekonomi dan kita boleh letakkannya dalam konteks memelihara harta. Apa yang saya mahu sentuh di sini ialah betapa pentingnya harta milik umat Islam itu membesar dan bukannya menjadi harta beku. Mungkin orang melihatnya sebagai bukan satu perkara agama sedangkan berusaha membangunkan ekonomi bagi saya juga adalah kerja-kerja agama kerana melalui rantaiannya orang Islam boleh maju, orang Islam boleh mencari rezeki. Kita harus sedar melalui adanya rantaian ekonomi atau pengukuhan ekonomi peluang pekerjaan akan meningkat. Cuba bayangkan sistem ekonomi kita lemah harta kita beku tidak boleh dikembangkan sudah tentu peluang pekerjaan tidak dapat diwujudkan dan sekali gus memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.

Mengapa masih ada pihak yang menganggap Islam hanya berkaitan hukum walaupun sudah jelas Islam merangkumi semua aspek kehidupan?

NIK MUSTAPHA: Perkara ini timbul disebabkan fahaman hidup Islam tidak ditafsir dan dihayati dengan tepat. Dunia sebenarnya adalah pentas kita. Kemuliaan dunia adalah kemuliaan akhirat. Atas sebab ini kita perlu memberi pandangan hidup yang tepat berkaitan dengan Islam kepada masyarakat. Kita juga perlu berjiwa besar iaitu jiwa besar yang dibimbing dengan malakiah (rohani). Melalui jiwa besar ini juga kita boleh memberitahu mereka tentang ketinggian Islam. Contoh terbaik yang kita boleh tunjukkan kepada mereka ialah cara mana tingkah laku kita, cara mana kita melayan tetamu, adakah kita menipu, adakah kita menindas dan adakah kita mungkir janji. Di peringkat sebuah negara pula Islam itu boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk antaranya rumah rakyat yang teratur, perparitan yang bersistematik, kilang yang peka dengan persekitaran. Dengan kata lain rakyat hidup dalam keadaan selesa.

Apakah formula paling berkesan untuk memartabatkan Islam?

NIK MUSTAPHA: Pandangan hidup Islam perlu diberi gagasan keilmuan dan keintelektualan. Ia kemudian disokong nilai-nilai akhlak yang mulia serta kemahiran bagi melengkapkan usaha memartabatkan Islam. Jangan hanya setakat teori sahaja tetapi ia perlu dilaksanakan. Sebagai contoh saya buat aduan lampu isyarat rosak, tidak sampai lima minit kemudian ia telah dibaiki dan bukannya lima hari. Ini semua sejajar dengan Islam dan sudah tentu boleh memartabatkan Islam. Rakyat mahu keselamatan mereka terjamin, rasuah dikurangkan. Bukankah tugas ini menepati kehendak agama?

Mengapa masih wujud orang Islam yang suka mencaci mencerca orang lain tetapi dalam masa sama cara berpakaian sungguh Islamik?

NIK MUSTAPHA: Ini semua disebabkan ada golongan yang gemar mencari salah orang lain. Hidup dalam tempurung. Kita sahaja yang betul dan orang lain salah. Ini semua berkaitan dengan pandangan hidup. Sesekali kita perlu melawat tempat lain untuk menimba pengalaman. Saya pernah ke Singapura dan saya bersolat di salah satu masjid di negara tersebut dan saya dapati keindahan masjid itu cukup terserlah. Tempat letak pinggangnya juga cantik. Apabila kita lihat masjid-masjid di negara kita, apa yang ditemui kotor dan tidak ada disiplin. Masjid pun kita tidak boleh urus dengan betul sedangkan masjid adalah rumah Allah, dengan landskapnya yang tidak terjaga walhal kita boleh uruskan dengan baik. Inilah lemahnya kita. Itu yang saya sebutkan mengenai kepentingan kemahiran selepas pandangan hidup dan akhlak. Kita pandai bercakap tetapi tidak pandai buat.

Ada masa kita melihat terdapat budaya barat atau budaya masyarakat dunia yang lain yang sejajar dengan kehendak Islam. Apa pandangan Datuk?

NIK MUSTAPHA: Saya pernah ada pengalaman menaiki bas dari Rom. Pemandunya sungguh amanah apabila dia memandu mengikut had laju yang ditetapkan iaitu 70 kilometer sejam. Dia boleh memecut lebih laju lagi kerana jalan yang dilalui besar dan lurus. Mereka mengamalkan sikap profesional yang amat tinggi. Di Jepun sekiranya keretapi itu dijadual sampai pukul 8.32 pagi, pada waktu itulah keretapi sampai. Begitu juga dengan persekitarannya yang jauh lebih bersih. Apa yang berlaku di negara-negara ini sejajar dengan kehendak agama. Atas sebab ini saya tekankan tiga aspek tadi iaitu pandangan hidup (jangan melihat semua perkara dari sudut hukum ) selain daripada akhlak dan kemahiran. Kita harus menyusun hidup dengan menitikberatkan pandangan hidup untuk maju, pandangan hidup untuk tingkatkan keselesaan tetapi ia ada keistimewaan berbanding penduduk barat kerana pandangan hidup kita ini dibimbing dengan akhlak yang mulia. Bukan dengan cara menindas, menipu orang lain sebaliknya berdasarkan kemahiran.

Bagaimana pula konsep kesederhanaan dalam Islam?

NIK MUSTAPHA: Terdapat salah faham tentang kesederhanaan seperti mana yang dianjurkan oleh Islam. Kesederhanaan bukan bermakna seseorang itu tidak boleh menjadi kaya. Sebenarnya kesederhanaan itu bermaksud tumpuan untuk menyeimbangkan sifat manusia yang pelbagai. Kita tidak boleh bekerja keterlaluan dan inilah kelemahan masyarakat Jepun. Banyak juga kelemahan yang mereka ada kerana kehidupan mereka tidak didasarkan kepada kehendak agama. Mereka bekerja hingga larut malam yang akhirnya berlaku kepincangan dalam keluarga. Islam tidak mahu kita fokus Kesederhanaan bukan bermakna seseorang itu tidak boleh menjadi kaya. Kesederhanaan bukan bermakna seseorang itu tidak boleh menjadi kaya. Sebenarnya kesederhanaan itu bermaksud tumpuan untuk menyeimbangkan sifat manusia yang pelbagai. Kita tidak boleh bekerja keterlaluan dan inilah kelemahan masyarakat Jepun. Sebenarnya kesederhanaan itu bermaksud tumpuan untuk menyeimbangkan sifat manusia yang pelbagai. Kita tidak boleh bekerja keterlaluan dan inilah kelemahan masyarakat Jepun. pada satu perkara sahaja sebaliknya kita ada pelbagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Dalam Islam bila kita bekerja kita perlu bekerja bersungguh-sungguh.

Jika 12 jam diperuntukkan untuk bekerja dalam tempoh itu kita wajib bekerja bersungguh-sungguh. Setelah selesai kita ada tanggungjawab kepada keluarga. Kita juga ada hobi. Maghrib dan Isyak kita berjemaah di masjid. Maknanya ada pelbagai perkara dalam hidup. Jika kita terlalu menumpukan kepada satu aspek sahaja akan timbul masalah dalam kehidupan. Sebagai contoh kesihatan akan terjejas, kasih sayang antara isteri dan anak-anak tidak wujud. Kasih sayang bukannya wang, kasih sayang bukannya kad kredit tetapi kasih sayang adalah sentuhan peribadi, kasih sayang terbentuk apabila kita bersama mereka. Seperti mana kata Saidina Ali anak-anak yang berusia sehingga 7 tahun hendaklah kita bermain dengan mereka, usia antara 7 hingga 14 kita masukkan elemen disiplin. Selepas umur 14 tahun kita jadikan anak-anak sebagai sahabat. Saranan Saidina Ali ini sesuai untuk sepanjang zaman.

Apakah perancangan IKIM bagi tahun 2010?

NIK MUSTAPHA: IKIM telah ditubuhkan pada tahun 1992 dan sejak penubuhannya IKIM berusaha memberi pemahaman kepada masyarakat bagaimana Islam itu dilaksanakan dalam semua aspek kehidupan. Bertitik tolak daripada ini IKIM telah mengadakan pelbagai program termasuk seminar yang bukan sahaja menyentuh isu berkaitan syariah tetapi ia juga merangkumi aspek ekonomi, undang-undang, keselamatan, makanan, kebudayaan dan alam sekitar.

Mengenai perancangan IKIM tahun depan, IKIM akan menganjurkan Seminar Kebangkitan Islah di Alam Melayu pada bulan Mac dan ia akan membincangkan pemikiran beberapa orang ulama di Alam Melayu dan sumbangan mereka dalam membangunkan masyarakat dari pelbagai aspek kehidupan. Antara ulama tersebut Haji Abdullah Fahim, Haji Wan Musa Haji Abdul Samad (bekas Mufti Kelantan), Sheikh Tahir Jalaluddin, Wan Ahmad Mihammad Zain dari Patani serta Agus Salim dan Mohammmad Natsir dari Indonesia. Walaupun kesemuanya ini ulama, mereka berjaya memainkan peranan sebagai golongan pemikir yang boleh memberi kemajuan kepada masyarakat. Mereka tidak menyempitkan pengertian agama sebaliknya mereka benar-benar menjadikan Islam sebagai satu cara hidup hingga masyarakat memperoleh kemajuan.

Saya difahamkan IKIM juga akan mengadakan seminar untuk membincangkan tokoh agama dari India, Shah Waliyullah Al-Dihlawi?

NIK MUSTAPHA: Kita juga merancang untuk membincangkan seorang tokoh dari India iaitu Shah Waliyullah Al-Dihlawi dalam bentuk satu seminar khas. Beliau merupakan seorang ilmuwan dan mujahid yang terkenal di Asia Selatan. Beliau berjuang mempertahankan ketuanan Islam dan tradisi ilmu pada saat kekuasaan Islam mula tergugat. Beliau juga seorang ahli ekonomi dan dalam masa sama merupakan seorang ahli tasauf. Beliau juga seorang pengkarya yang hebat dan ia diakui oleh dunia Arab. Shah Waliyullah lahir pada saat masyarakat hidup dalam kecelaruan selain jumlah golongan munafik yang meningkat. Rasuah bermaharajalela dan keruntuhan akhlak yang begitu ketara. Gambaran masyarakat pada zaman Shah Waliyullah itu boleh dikaitkan dengan keadaan sekarang.

Saya pernah hadir dalam satu simposium di mana Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd Tap Salleh telah memberitahu ketirisan dalam kerajaan hampir RM28 bilion. Jika tidak ada ketirisan 28 bilion berapa buah sekolah boleh dibina dengan RM1 bilion, berapa panjang jalan yang boleh dibina dengan RM1 bilion. Baru-baru ini timbul kes kehilangan enjin jet. Ini soal keselamatan negara. Berbalik kepada Shah Waliyullah dalam hidupnya juga beliau mencari jalan untuk mengharmonikan mazhab-mazhab dan bukannya mencari jalan perpecahan.

Kita di sini asyik cari perbezaan dalam mazhab sedangkan perbezaan yang berlaku bukan besar sangat hanya melibatkan soal furu’ (ranting) bukan berkaitan dengan persoalan akidah. Kebanyakannya berkaitan soal ibadat. Seorang hendak berdoa berjemaah dan seorang lagi mahu berdoa sendirian. Seorang lagi hendak doa qunut dalam solat Subuh seorang lagi tidak mahu. Doa qunut bukan rukun dalam solat pun. Tidak baca doa qunut pun tidak apa. Imam Shafie menggalakkan membaca qunut kerana keadaan hidup masyarakat pada zamannya dalam keadaan huru hara.

Mengapa kita memperbesar-besarkan perkara yang telah lama selesai. Mengapa timbulnya perpecahan di kalangan orang awam disebabkan perkara seperti ini. Kita berkelahi, menghabiskan masa dengan perkara yang remeh temeh. Mengapa kita hidupkan semula perkara- perkara yang telah selesai?

Sumber Dari Ruang Agama Mingguan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan