Jumaat, 29 Januari 2010

IKIM.fm Teruskan Peranan Sebagai Radio Mendidik

Bernama baru-baru ini menemu bual Pengarah Radio IKIM.fm, Ir Ahmad Jais Alias mengenai beberapa isu termasuk keperluan hijrah dalam konteks keadaan masyarakat Islam hari ini serta peranan Radio IKIM.fm sebagai medium mendidik masyarakat.

Rencana ini ialah yang terakhir daripada dua bahagian

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- "Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia IKIM.fm berperanan bukan sahaja menjadi contoh teladan kepada masyarakat tetapi juga sumber rujukan dalam mendapatkan maklumat.

"Kita hendak sampai peringkat mereka kata nak mendengar sesuatu dengarlah radio IKIM, nak rujuk satu-satu perkara dengarlah radio IKIM, itu yang kita hendak. Radio IKIM sentiasa menjadi contoh kepada masyakarat," demikian menurut Ir Ahmad Jais Alias, Pengarah Radio IKIM.fm dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, Radio IKIM.fm ialah radio yang berteraskan keilmuan di mana 70 peratus daripada rancangan bersifat mendidik dan memberi maklumat.

Baki 30 peratus lagi berbentuk hiburan tetapi yang mendidik jiwa termasuk nasyid, zikir dan salawat.

Julai ini, genap usia Radio IKIM.fm sembilan tahun. Ia dilancarkan pada 6 Julai 2001 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercogankata 'Pilihan Utama Anda', IKIM.fm beroperasi 24 jam sehari melalui 12 pemancar ke seluruh negara dengan matlamat berusaha menyebar kefahaman Islam dan mendidik pendengar menerusi Faham 3M iaitu "Menyampaikan Maklumat, Mendidik dan Menghibur."

Buat masa ini, IKIM.fm bersiaran dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Bahasa Arab.

PERANAN BESAR

Ir Ahmad Jais yang menyandang jawatan Pengarah IKIM.fm mulai 1 Jan 2008, berkata sebagai satu-satunya radio yang berasaskan ilmu, ia akan terus mengekalkan nilai untuk mendidik masyarakat.

"Daripada maklum balas yang kami terima, masyarakat sememangnya dahagakan program-program yang disiarkan oleh IKIM.fm.

"Kami perlu meneruskan amanah ini dan mempertahan identiti IKIM.fm yang diharap akan menjadi contoh teladan untuk stesen radio lain dalam membentuk dan membangun masyarakat," tambahnya.

Menurut Ir Ahmad Jais, IKIM.fm sentiasa giat berusaha meneruskan peranan dalam membangunkan ketinggian akhlak dan adab dalam masyarakat.

Ini dilakukan menerusi penerapan elemen-elemen yang sering dikaitkan dengan peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW iaitu persiapan minda, spiritual atau kerohanian, fizikal serta strategi dan organisasi.

"Kami mempunyai rancangan yang boleh membangunkan minda masyarakat, yang bersifat kerohanian, yang membangunkan akhlak dan adab di samping rancangan yang mengajar ilmu komponen fizikal/kekuatan lahiran.

"Terdapat juga rancangan yang memberi fokus ke arah pembangunan sifat-sifat organisasi dan berjamaah, bermasyarakat dan sebagainya," tambahnya.

CONTOH PROGRAM

Antara contoh program yang terkandung dalam rangkaian pengisian tetap IKIM.fm bagi menangani isu kekeluargaan ialah 'Wanita Hari Ini' serta "Syariah dan Perundangan'.

Bagi rancangan yang mendidik jiwa, akhlak dan peribadi, pendengar boleh mengikuti rancangan seperti 'Purification of the Heart' (dalam bahasa Inggeris) setiap hari Ahad jam 2 petang.

Satu lagi program mendidik akhlak dan jiwa ialah 'Usrah Rasa Hati' yang disiar setiap Rabu jam 6.15 petang.

Di samping itu, IKIM.fm turut memberi peluang kepada pendengar melahirkan pandangan mereka berdasarkan topik pilihan setiap pagi dari pukul 7 pagi hingga 9 pagi di bawah segmen program 'Nur Pagi'.

"Penerbit akan memilih topik berdasarkan tajuk utama akhbar. Pendengar berpeluang membincangkan topik tersebut dan ini dapat melatih minda masyarakat supaya lebih peka dengan isu-isu semasa.

"Sambutan untuk program ini memang tidak putus-putus dan kami bersyukur kerana mempunyai pendengar yang berkualiti dan bertanggung jawab.

Tidak ada respon yang cuba mengganggu gugat atau menyalahkan mana-mana pihak," jelasnya.

Beliau turut berkata terdapat juga program pusat yang memberi ruang kepada para penyelidik IKIM untuk mempersembah kajian dan penemuan mereka.

Penyelidik berkenaan dari empat pusat iaitu Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar serta Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI).

Program itu, katanya mendapat sambutan kerana ia berasaskan fakta dan kajian.

Bagi golongan remaja, IKIM.fm menyajikan pelbagai program hiburan yang mendidik termasuk 'Carta Nasyid', 'Permintaan Nasyid', segmen 'Pantun Nasihat', 'Mutiara Kata' dan 'Sampaikan Salam'.

Manakala segmen 'Remaja' disiarkan setiap Jumaat 10.15 malam membincangkan isu-isu remaja termasuk mengurus kewangan serta panduan menghadapi peperiksaan dan tekanan dan 'Alam Ria SiKecil" yang disiarkan setiap petang Sabtu dari pukul 2 hingga 4 petang.

CERNA MINDA

Ir Ahmad Jais turut mempunyai program sendiri 'Cerna Minda' yang disiar secara langsung setiap Isnin 6.15 petang dengan ulangan pada Sabtu pukul 5.15 petang.

"Saya turun padang dengan mengendalikan program sendiri ini kerana saya mahu menjadi contoh teladan kepada deejay dan penerbit di Radio IKIM," jelasnya.

Program 'Cerna Minda' dimulakan pada 2008 ketika IR Ahmad Jais bertugas sebagai felo di PPLI dengan tajuk besar 'Menguruskan Perubahan' yang kemudian dipecahkan kepada tajuk-tajuk kecil.

Antara topik yang dibincangkan di bawah segmen i tu termasuk hijrah yang juga bererti perubahan dari segi adab dan akhlak.

Ir Ahmad Jais berkata setiap tajuk yang dibincangkan di bawah program itu mengikut keadaan semasa dan keperluan pendengar tetapi tidak lari daripada fokus untuk mengajak kepada perubahan.

PENGALAMAN DI UK

Meskipun tidak mempunyai kelulusan formal dalam bidang penyiaran, Ir Ahmad Jais berpengalaman menubuhkan dan mengendalikan stesen radio sewaktu belajar di United Kingdom.

Beliau ketika itu mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Sains dalam bidang kejuruteraan di Universiti Strathclyde, Glasgow dari 1994 hingga 1996.

"Sewaktu belajar dan tinggal dalam masyarakat Islam di UK, memang nampak keperluan untuk mempunyai sebuah radio Islam. Kami memohon lesen dan memulakan penubuhannya termasuk membeli peralatan serta menyediakan studio.

"Radio itu diberi nama Radio Ramadan untuk komuniti Islam Glasgow. Yang indahnya kita perkenalkan konsep Islam untuk semua. Siaran dibuat dalam empat bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Urdu dan Bahasa Melayu.

"Kita dapat slot dua jam sehari untuk siaran Bahasa Melayu dan sewaktu dilancarkan, kita merasa amat berbangga kerana di UK sudah ada radio berbahasa Melayu ," tambahnya.

Ir Ahmad Jais yang turut memiliki Ijazah Pasca Siswazah dalam Sains Islam dari International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), berkata format Radio Ramadan amat serupa dengan format IKIM.fm.

"Apabila saya balik ke Malaysia, ada kawan minta tubuhkan radio seperti Radio Ramadan di Malaysia dan saya merasa bersyukur apabila IKIM.fm dilancarkan pada 2001. Tidak sangka juga akhirnya saya berkhidmat dengan Radio ini," kata Ir Ahmad Jais.

RANCANGAN 2010

Bagi tahun baru 2010, IKIM.fm akan memperkenal program baru menjelang Mac ini di samping mengekalkan program-program pusat yang mempunyai pengikut dan pendengar setia.

Buat masa ini, katanya, IKIM.fm mempunyai 23 petugas termasuk tujuh juruteknik termasuk pengurus mereka, pembantu serta kerani di samping 11 penerbit yang juga berperanan sebagai juruhebah dan dua orang di bahagian pemasaran.

Mengenai rancangan memperluas liputan siaran IKIM.fm di samping 12 pemancar sedia ada, beliau berkata kertas kerja permohonan bajet telah dihantar kepada kerajaan dan menunggu maklumbalas.

Ir Ahmad Jais berkata berdasarkan kajian Nielsen siri kedua 2009, golongan remaja berusia 15 hingga 19 tahun ialah pendengar utama IKIM.fm.
Ini diikuti golongan suri rumahtangga dan golongan profesional.

"Hasil kajian ini jelas menafikan cakap-cakap bahawa IKIM.fm ialah radio orang tua dan golongan remaja hanya suka berhibur.

"Kalau nak kata remaja atau orang Melayu suka berhibur, ini berbalik kepada apa yang disajikan kepada mereka. Masyarakat terpengaruh oleh pelbagai faktor, kalau yang dihidangkan kepada mereka itu hiburan, itulah yang mereka akan dapat.

"IKIM.fm menawarkan alternatif. Kami menyiarkan hiburan tetapi hiburan yang mendidik jiwa," kata Ir Ahmad Jais.

-- BERNAMA

1 ulasan:

  1. Salam DJ Razak..Tahniah IKIM dot fm..saya mmg peminat setia anda walaupun kini saya sudah sambung belajar diluar negara masih lagi mengikuti perkembangan radio IKIM fm sebagai alternatif Hiburan dakwah nasyid masa kini..ape pun Tahniah diucapkan semua krew 2 IKIM serta DJ IKIM yang sentiasa dekat dihati peminat..

    Jika abg Razak free..layari blog saya yer [http://fenomenasyid.blogspot.com/]...kirim salam semua Dj dan terutamanya DJ erwan heheh...

    BalasPadam